Sabtu, 4 November 2017

Tiada sesiapa pengaruhi saya bersara - Safiq



Jumaat, 15 Julai 2016 | 12:45pm
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
 
SAFIQ menjelaskan betapa keputusannya untuk bersara daripada beraksi bersama Harimau Malaysia tidak dipengaruhi pihak lain. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

KUALA LUMPUR: Bekas kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim menjelaskan betapa keputusannya untuk bersara daripada beraksi bersama Harimau Malaysia tidak dipengaruhi pihak lain.

Sebaliknya, perancang utama Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menegaskan keputusan yang dilakukan adalah muktamad selepas menilai dari semua aspek termasuk mengadakan perbincangan dengan keluarga.

Malah dengan persaraan itu juga, Safiq berkata dia kini boleh memberi fokus sepenuhnya kepada JDT yang meletakkan sasaran tinggi di peringkat Liga Malaysia dan Piala AFC.

"Saya sudah buat buat keputusan dan kenyataan (umum persaraan) sebelum ini juga memang daripada saya sendiri. Ia keputusan saya dan tiada kaitan langsung dengan sesiapa pun.

"Malah keputusan itu saya buat selepas menilai semua perkara termasuk berbincang dengan keluarga. Kini saya boleh fokus sepenuhnya kepada JDT dan keluarga," katanya.

Safiq mengumumkan persaraan dari skuad Harimau Malaysia bersama Aidil Zafuan Abdul Radzak, Selasa lalu sebelum S Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal melengkapkan empat pemain yang bersara, semalam.

BH semalam melaporkan bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni menyifatkan tindakan Safiq dan Aidil bersara dengan mengejut adalah pelik selain mendakwa terdapat faktor luaran yang mempengaruhi keputusan mereka.

Selain itu, Safiq turut menjelaskan betapa keputusan bersara yang dilakukannya bersama tiga pemain lain bukan dirancang sebaliknya adalah keputusan peribadi masing-masing.

Ditanya berkenaan persaraan tiga pemain lain, Safiq bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan hanya menjelaskan ia adalah hak individu.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 15 Julai 2016 | 12:45pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan