Rabu, 29 November 2017

Selangor akhiri kemarau

ARKIB : 02/08/2008
Selangor akhiri kemarau
SHAH ALAM - Selangor mengakhiri penantian selama 10 tahun untuk kembali bergelar juara bola sepak Piala Presiden selepas menewaskan Perak 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan Selangor itu sekali gus menafikan hasrat Perak untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi oleh mereka ketika menewaskan Kelantan 5-4 menerusi penentuan tendangan penalti di Ipoh, tahun lalu.

Tandukan cantik Safiq Rahim pada minit ke-41 sudah cukup untuk membolehkan Selangor meraih kejuaraan ini selepas kali terakhir mereka memenanginya pada tahun 1998 yang lalu.

Beraksi dihadapan kira-kira 3,000 penonton, Selangor tampak lebih yakin mengatur serangan apa lagi dengan kelebihan beraksi di gelanggang keramat sambil mendapat sokongan padu para penyokong setia mereka yang tidak henti-henti memalu gendang tanpa menghiraukan sorakan sebahagian kecil penyokong Perak yang turut datang dari jauh untuk memberikan sokongan.

Ketangkasan penjaga gol Selangor, Mohd. Fairul Azwan Shahrullai kerap mengecewakan jentera serangan Perak, yang mengasak pada penghujung babak kedua permainan.

Namun usaha Perak, yang membenam UPB-MyTeam menerusi agregat 6-1 pada separuh akhir, untuk mencari gol penyamaan ternyata tidak berhasil sehinggalah pengadil, Anuar Che Hussin meniupkan wisel penamat menyaksikan Selangor muncul juara.

Dengan kemenangan itu, Selangor meraih hadiah wang tunai RM100,000 sementara Perak selaku naib juara, membawa pulang RM50,000. Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4zouWRYdA

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan