Isnin, 6 November 2017

Safiq tak patut terlepas: Zakaria



Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
 
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) digesa mengambil tindakan ke atas Safiq Rahim susulan mengeluarkan kata-kata kesat kepada penyokong yang jelas melanggari etika seorang pemain bola sepak profesional.

Bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim berkata, perbuatan kapten Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mencarut di hadapan pihak media yang kemudiannya menjadi bahan tatapan seluruh peminat tidak sepatutnya terlepas daripada tindakan disiplin dengan FAM wajar menghukum pemain tengah berkenaan.


ZAKARIA RAHIM

Zakaria yang pernah mengendalikan beberapa kelab amatur di Manchester, England selama enam tahun menegaskan, setiap bidang kerjaya memiliki etika yang mesti dipatuhi termasuklah pemain bola sepak yang terikat dengan etika Fairplay atau Respeck.

Katanya, walaupun ketua pasukan kebangsaan itu mungkin sekadar melepaskan tekanan selepas membantu JDT menjuarai Piala Malaysia, dia ketika itu masih lagi memakai jersi kelabnya yang membawa imej Liga Malaysia dan sukan bola sepak secara amnya.

"FAM dan FMLLP tak boleh berdiam diri. Ini contoh tak baik yang jauh sekali menyimpang dengan etika Fairplay atau Respeck yang ditekankan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) selama ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya, isu berkenaan pernah berlaku kepada bekas penyerang Manchester United, Wayne Rooney pada 2011 ketika kelabnya berdepan West Ham United di mana Rooney mengeluarkan kata-kata kesat kepada penyokong dan pengkritiknya yang sempat dirakam pihak media.

Kelakuan Rooney itu akhirnya mendapat perhatian serius Persatuan Bola Sepak Englang (FA England) yang kemudian menggantungnya dua perlawanan kerana didapati bersalah menghina penyokong.

"Kes Rooney antara contoh yang harus FAM dan FMLLP ambil kira. Dia yang kini bermain untuk Everton dihukum dan kemudiannya tampil memohon maaf atas kesilapannya serta mengakui dirinya melanggar etika pemain profesional.

"Jadi, takkan badan pentadbir bola sepak kita nak berdiam diri atau mahu memenangkan Safiq yang terang-terang dalam rakaman video mencarut dan menghina penyokong. Sebagai pemain profesional, dia kena terima hakikat bahawa kritikan adalah sebahagian daripada hidupnya.

"Tetapi dia tidak boleh bertindak balas kerana dia ada etika selain menjadi ikon kepada masyarakat dan kanak-kanak. Kalau tak tahan dicemuh, berhenti jadi pemain bola dan pergi jadi askar, mekanik atau polis," katanya.

Menerusi rakaman video berdurasi seminit yang viral ketika ini, Safiq dilihat seperti melepaskan geram kepada pengkritik yang dianggap membenci JDT apabila secara tiba-tiba menjerit dengan mengeluarkan kata-kata kesat.

Dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam Sabtu lalu itu, Harimau Selatan berjaya menewaskan Kedah 2-0 menerusi tandukan Mohd Aidil Zafuan Radzak dan Gonzalo Cabrera.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 7:47 PM


Hodak usik emosi pemain
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

KEMENANGAN bergaya anak buah Bojan Hodak apabila membenam Indonesia 4-1 pada aksi kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 di Paju, Korea Selatan, hari ini sememangnya mengejutkan ramai.

Bagaimanapun, Hodak mendedahkan rahsia di sebalik kemenangan bergaya itu yang mencerahkan peluang mereka mengetuk pintu pusingan akhir Kejuaraan AFC B-19 di Indonesia, tahun depan apabila mengumpul sembilan mata maksimum selepas menewaskan Timor Leste 3-1 dan Brunei 1-0, sebelum ini.

“Saya akui sebenarnya bukan mudah menewaskan Indonesia, apatah lagi selepas lawan itu membelasah Brunie dan Timor Leste dengan kedua-duanya berakhir dengan keputusan 5-0 berbanding kami yang sekadar menang tipis saja terutamanya ke atas Brunei yang jelas menyentap semangat pemain.

“Namun, saya gunakan permainan psikologi bagi menaikkan semangat pemain. Dalam pasukan ini, kami mempunyai ramai pemain dari Pulau Pinang dan Kedah yang ketika ini keluarga mereka ditimpa masalah banjir.

“Jadi, saya ingatkan mereka mengenai kesusahan keluarga dan mangsa banjir di Pulau Pinang dan Kedah. Tak sangka pemain saya memberi tindak balas cukup baik di mana mereka beraksi demi keluarga tersayang,” kata bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kelantan itu.

Skuad negara akan melengkapkan saingan Kumpulan F dengan menentang Korea Selatan Rabu ini dan sekiranya menewaskan pasukan tuan rumah itu, mereka akan muncul juara kumpulan sekali gus layak automatik beraksi bersama 15 lagi pasukan terbaik termasuk Indonesia yang sudah layak lebih awal atas tiket selaku tuan rumah.

Bagaimanapun, sekiranya tewas atau seri, skuad negara masih berpeluang mara dengan mereka kini berada di posisi terbaik untuk muncul sebagai lima pasukan naib juara terbaik di pusingan kelayakan ini hasil pungutan mata yang tinggi.

Sekiranya anak didik Hodak layak, mereka akan mengikut jejak dua pasukan muda negara iaitu skuad B-23 dan B-16 yang turut mengesahkan kemaraan di pusingan akhir AFC tahun depan di mana pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee beraksi di China Januari ini, sementara skuad Lim Teong Kim menjadi tuan rumah, Ogos nanti.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 4:20 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan