Sabtu, 4 November 2017

Mora elak pemain JDT terkejut



Khamis, 19 Januari 2017 | 9:06pm
Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@bh.com.my
 
Ketua pasukan JDT Safiq Rahim (kiri), Benjamin Mora (dua dari kiri) bersama ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhiar (kanan) dan penolong jurulatih, Nidzam Azhar Yusof bersalaman sempena perlawanan Piala Sumbangsih esok pada sidang media di Stadium Larkin. -Foto NSTP Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) yang baharu, Benjamin Mora menegaskan tidak akan melakukan rombakan besar-besaran ke atas skuad Harimau Selatan ketika turun melawan Kedah dalam perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam esok.

Pengendali kelahiran Mexico itu berkata, tindakan itu bagi mengelak pemain terkejut dengan strategi dan taktikal baharu tatkala mereka sudah biasa dengan formasi yang diterapkan Mario Gomez.

"Selepas aksi menentang Kedah, barulah saya akan membuat perubahan secara berperingkat kerana tidak mahu pemain mengalami `kejutan' dengan rombakan taktikal permainan dalam masa yang singkat," katanya.

Bagaimanapun, Mora yang mengambil alih Gomez yang ditamatkan kontrak secara persetujuan bersama dengan JDT semalam, menyifatkan tugasan baharu yang dipikulnya mencabar.

"Bagaimanapun, saya gembira dengan komitmen pemain yang memberi sokongan padu kepada saya. Bagi saya pemain yang dimiliki JDT adalah barisan yang hebat dan memiliki semangat luar biasa.

"Saya juga berterima kasih kepada barisan kejurulatihan terutama Raul Longhi dan Ismail Ibrahim yang banyak membantu sesi latihan sejak semalam," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 19 Januari 2017 | 9:06pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan