Isnin, 6 November 2017

'Kami yang terbaik!'



Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
 
“KAMI yang terbaik!”. Itu reaksi kapten Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Safiq Rahim ketika ditanya apa kunci kejayaan pasukan itu hingga berjaya menjuarai Piala Malaysia musim ini.

Kemenangan 2-0 ke atas juara bertahan Kedah pada final di Stadium Shah Alam malam tadi menyaksikan Safiq melengkapkan kejuaraan saingan tempatan bersama kelab selatan tanah air itu.

Malah, dia yang juga kapten skuad kebangsaan menegaskan betapa perjuangan Johor DT masih belum berakhir dan akan berusaha untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Kami tahu kekuatan kami dan kami hanya beraksi dengan corak permainan kami. Kami yang terbaik setakat ini, itu yang saya rasa.

“Ini impian saya dan mungkin juga impian semua pemain untuk mencipta satu lagi sejarah buat Johor DT. Syukur, kami akhirnya berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia.

SAFIQ (tengah) dan Jurulatih Johor DT, Ulises Morais meraikan kemenangan bersama penyokong di Stadium Shah Alam. FOTO/ASYRAF HAMZAH

“Memang (di peringkat) domestik saya sudah lengkapkan semua piala, tapi saya masih dahagakan kejayaan. Saya perlukan lagi kejayaan untuk kelab dan juga pencapaian peribadi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi malam tadi, jaringan Aidil Zafuan Radzak dan Gonzalo Cabrera pada setiap babak berjaya memberi kejuaraan sulung buat Johor DT dalam saingan Piala Malaysia, sekali gus membawa kembali piala berprestij itu ke Johor selepas 26 tahun.

Selain itu, Safiq turut menyifatkan kejayaan menjulang Piala Malaysia hasil usaha gigih pasukannya yang tidak berhenti bekerja sepanjang musim ini.

“Ramai yang beranggapan negatif terhadap pasukan kami, namun walau apa sekalipun orang kata, kami tetap bersatu sebagai satu keluarga.

“Kami tetap bersama dalam setiap kenangan pahit, manis, menang, seri dan juga sewaktu pasukan tewas,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 6:21 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan