Sabtu, 4 November 2017

Idam Piala Malaysia bagi lengkapkan musim bermakna



3 November 2017
Idam Piala Malaysia bagi lengkapkan musim bermakna
Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim Ulisses Morais (dua, kanan) dan Ketua pasukan Mohd Shafiq Rahim (kanan) bersama Ketua Jurulatih Kedah Nidzam Adzha (dua, kiri) dan Ketua pasukan Kedah Khairul Helmi Johari bergambar bersama Piala Malaysia pada sidang media di Stadium Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
 
KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais mengimpikan pengakhiran musim yang bergaya dengan menjuarai Piala Malaysia apabila anak-anak buahnya bertemu juara bertahan, Kedah di Stadium Shah Alam, esok.

Bagaimanapun warga Portugal berusia 57 tahun itu yang membimbing skuad Harimau Selatan menjuarai Liga Super empat musim berturut-turut, sedar cabaran yang bakal diberikan pasukan Lang Merah dalam dua pertemuan antara kedua-dua pasukan, musim ini.

JDT tewas 4-5 kepada Kedah dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa penuh perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Larkin pada 20 Jan dan pertemuan kedua dalam Liga Super di Stadium Darul Aman menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.

“Perlawanan akhir adalah berbeza sekali dan pastinya, kami akan memberikan yang terbaik  untuk  memenangi piala ini yang kami tidak pernah menang tetapi Kedah sudah pasti mahu mempertahankan piala ini yang dimenangi mereka musim lepas,” katanya dalam sidang media praperlawanan di venue itu di sini hari ini.

Morais berkata biarpun dengan ketiadaan pertahanan tengah Marcos Antonio dari Brazil berikutan kecederaan lutut yang serius, beliau yakin pemain lain seperti Aidil Zaquan Abdul Radzak dan Mohd Fadhli Shas akan mampu menggalas tugas menghentikan serangan Kedah diketuai oleh dua pemain importnya – Liridon Krasniqi dari Albania dan warga Brazil, Sandro da Silva.

Antonio tidak dapat bermain sehingga akhir musim ini selepas mendapat kecederaan itu semasa perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium Larkin.

Dalam pada itu, Kapten JDT, Safiq Rahim berharap dapat mendakap Piala Malaysia setelah sekadar muncul naib juara ketika bersama Selangor pada 2008 dan JDT pada 2014.

Beliau menegaskan moral rakan sepasukan berada dalam keadaan terbaik bagi menghadapi perlawanan itu.

“Ini kali ketiga saya beraksi di final Piala Malaysia bersama dua pasukan berbeza dan saya harap tuah menyebelahi pasukan JDT untuk memenangi Piala Malaysia pada kali ini.

Saya tak kisah sama ada perlawanan ditamatkan dalam masa penuh 90 minit, masa tambahan 30 minit atau dibawa ke sepakan penalti kerana yang lebih penting adalah kita dapat keputusan yang positif,” kata  perancang tengah skuad Harimau Malaya itu.

Pada masa yang sama, Safiq turut mengingatkan rakan sepasukan untuk memberi perhatian kepada kesemua pemain Kedah yang mampu mengancam benteng pertahanan JDT.

“Semua pemain Kedah ada kelebihan masing-masing dan saya harap rakan sepasukan dapat beraksi sebagai satu unit yang mantap...kalau kita beri ruang, mungkin Kedah akan menggunakan kesempatan tersebut untuk membolosi gawang kita,”katanya. – Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 3 November 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan