Jumaat, 3 November 2017

Buku bertemu ruas



MOHD. NIDZAM (dua dari kiri) dan Morais (dua dari kanan) memegang trofi Piala Malaysia menjelang aksi final yang menemukan Kedah dan JDT di Stadium Shah Alam malam ini. Turut kelihatan kapten Helang Merah, Khairul Helmi Johari (kiri) serta ketua pasukan skuad Harimau Selatan, Safiq Rahim.

SAINGAN bola sepak tempatan bagi musim 2017 sampai ke kemuncak malam ini apabila dua jagoan bola sepak negara bakal berentap di Stadium Shah Alam bagi merangkul gelaran juara Piala Malaysia edisi ke-91.

Kedah yang unggul dengan kejuaraan Piala FA dan Piala Sumbangsih musim ini dalam misi memburu kejuaraan keenam selepas memenanginya pada edisi 1990, 1993, 2007, 2008, 2016.

Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) yang masih segar dengan gelaran juara Liga Super empat kali berturut-turut mahu memenangi satu-satunya trofi yang belum pernah dimenangi selepas penjenamaan kelab pada 2013.

Pasukan Harimau Selatan itu pernah memenangi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim 2015 dan Piala FA 2016, selain Piala Sumbangsih dua musim berturut-turut (2015 dan 2016).

Strategi ampuh dan taktikal terbaik direncana kedua-dua jurulatih dengan Mohd. Nidzam Adzha Yusoff membimbing Kedah, manakala JDT mendapat sentuhan jurulatih import dari Portugal, Ulisses Morais yang bakal menjadi penentu kejayaan pasukan masing-masing.

Dalam pada itu, Mohd. Nidzam mahu memahat kenangan manis untuk menjuarai Piala Malaysia sebagai ketua jurulatih.

“Kami memiliki rekod yang baik di Stadium Shah Alam dan saya harap tuah tersebut akan berterusan apabila kami bertemu dengan JDT nanti,” katanya.

Morais pula menyifatkan aksi final itu bagaikan perlawanan epik untuk menutup kempen Liga Malaysia musim ini selepas kedua-dua pasukan berada dalam kemuncak prestasi.

“Skuad JDT berada dalam tahap terbaik kerana kami memiliki pemain terbaik untuk memenangi trofi ini. Kami juga memiliki keyakinan dengan cara tersendiri. Kami mahu memenanginya,” ujar Morais.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=1104&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4xQbtIZFe
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan