Sabtu, 25 November 2017

B-23 negara ketandusan ujian

ARKIB : 12/05/2008
PETALING JAYA - Dua puluh enam pasukan menganggotai Liga Super dan Liga Perdana musim ini tetapi tiada satu pun yang mampu dipelawa untuk menguji skuad bola sepak Bawah 23 Tahun Malaysia sebagai persediaan menghadapi Piala Antara Benua yang bermula Khamis ini.

Hampir kesemua terutama sekali pasukan handalan liga berehat panjang dan menjalani pemulihan menjelang Piala Malaysia, bulan depan sekali gus menyebabkan jurulatih negara, B. Sathianathan terpaksa berpuas hati dengan satu perlawanan persahabatan antarabangsa selain sesi latihan harian.

Memburukkan keadaan ialah kegagalan anak buahnya mengatasi skuad kebangsaan Maldives apabila diikat 1-1 di Stadium Petaling Jaya, kelmarin sehingga mencetuskan kebimbangan sama ada mereka mampu mengharungi skuad belia Ireland, Iraq dan Nigeria dalam Kumpulan A Piala Antara Benua.

"Banyak pasukan tempatan kini masih bercuti (selepas liga berakhir 4 Mei). Kami tidak cukup perlawanan persediaan selain tempoh persediaan ke Piala Antara Benua pun tidak sampai sembilan hari dan Maldives cuma perlawanan antarabangsa pertama kami sejak Sukan SEA Korat, lima bulan lalu.

"Saya tetap puas hati dengan keputusan seri ini kerana kami menentang sebuah pasukan senior Maldives yang telah tiga kali bermain (untuk menghadapi Piala Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan - SAFF)," katanya selepas perlawanan yang menyaksikan jaringan Khyril Muhymeen Zambri dan Ali Ashfaq pada minit ke-29 dan 45 itu.

Menambah keperitan skuad negara kelmarin ialah layangan kad kuning kedua sekali gus pembuangan padang oleh pengadil Malaysia, Manjit Singh terhadap ketua pasukan Shukor Adan yang umpama 'hadiah pahit' buat hari jadi Sathianathan ke-50, Jumaat lalu.

Malaysia akan memulakan kempen kejohanan kali pertama anjuran bersama Octagon Asia dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ini dengan menentang Ireland, Khamis ini; Iraq (Sabtu) dan Nigeria (19 Mei) dengan kesemua perlawanan Kumpulan A di Stadium Petaling Jaya.

l SKUAD MALAYSIASyed Adney Syed Hussein, Asraruddin Putra Omar, S. Subramaniam, Safiq Rahim, Norhafiz Zamani Misbah, Nasriq Baharom, Zaquan Adha Radzak, Ashari Samsuddin, Daudsu Jamaluddin, Shukor Adan, Shahurain Abu Samah, Khyril Muhymeen Zambri.

S. Kunanlan, Chun Keng Hong, Bunyamin Umar, Farderin Kadir, Ahmad Azlan Zainal, Norshahrul Idlan Talaha, Amirulhadi Zainal, Nasril Nourdin, Sumardi Hajalan, Azi Shahril Azmi, Baddrol Bakhtiar, Zamri Chin, Farizal Marlias
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4zRxaOxd4

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan