Rabu, 11 Oktober 2017

Usah salahkan Safiq

Firdaus Hashim di Hong Kong
firdaushashim@hmetro.com.my
 
“BUKAN salah Safiq punca kami kalah“, kata tonggak pertahanan kanan skuad Harimau Malaya, Matthew Davies yang tampil mempertahankan ketua pasukannya, Safiq Rahim.

Safiq dilayangkan kad merah pada babak pertama sekali gus mengundang kekalahan kedua skuad negara dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2019, di sini, malam tadi.

Dalam aksi ketiga Kumpulan B di Stadium Hong Kong itu, Malaysia tumpas 0-2 untuk kekal berada di kedudukan tercorot dengan satu mata, dan skuad kendalian Nelo Vingada sebelum ini turut tewas kepada Lubnan (1-2) dan seri dengan Hong Kong (1-1).

Davies yang juga ketua pasukan Pahang menegaskan, kekalahan di tangan pasukan Kim Pan-Gon itu bukanlah disebabkan atas kehilangan Safiq, sebaliknya berpunca daripada kelekaan di barisan pertahanan untuk membaca hantaran silang pemain tuan rumah.

“Kalau tengok balik dua gol mereka, kedua-duanya menerusi tandukan yang bermula daripada hantaran silang dan sepakan percuma.

“Kami gagal mengeluarkan bola di dalam kotak penalti kerana ketika itulah gawang negara dibolosi.

“Saya tak fikir kehilangan Safiq adalah punca kekalahan tetapi ia atas kesilapan kami sendiri sebagai satu pasukan,” katanya yang mengakui pemain tengah Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu ada memohon maaf di dalam bilik persalinan pasukan.

Segala-galanya tampak baik pada 30 minit pertama buat kem negara walaupun terpaksa beraksi dengan formasi 4-6-0, susulan kecederaan ditimpa penyerang Johor DT, Darren Lok, dua hari sebelum aksi itu.

Bagaimanapun, sebaik memasuki minit ke-39, Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila perancang utama, Safiq dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Sri Lanka, Nivon Robesh Gamini.

Jeneral tengah itu dikesan oleh pengadil memijak paha Jorge Tarres ketika cuba mendapatkan semula bola yang hilang dari kawalannya itu.

Tiga minit kemudian, pemain naturalisasi dari Barcelona yang dipijak Safiq itu menjaringkan gol pendahuluan tuan rumah menerusi tandukan, hasil sepakan percuma.

Seorang lagi penyerang naturalisasi dari England, Jaimes McKee menambah derita Malaysia menerusi gol kedua pada minit ke-49, yang menyaksikan keputusan itu kekal hingga wisel penamat.

Nada sama turut diluahkan pemain muda Pulau Pinang, Syamer Kutty Abba yang percaya Safiq tidak berniat untuk mengasari pemain tuan rumah.

“Patutnya pengadil bagi kad kuning saja kerana perlawanan masih lagi awal. Biasalah perebutan bola 50-50, kadang kala terlajak ke depan hingga terpijak pemain lawan.

“Apapun, kami sudah memberikan yang terbaik dan mereka pun cuma menang 2-0 saja biarpun kami beraksi 10 orang,” katanya yang meraih kap pertama bersama skuad senior negara.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 3:13 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan