Rabu, 11 Oktober 2017 | 9:31pm
KAPTEN Harimau Malaya, Safiq
Rahim enggan ditemuramah kumpulan wartawan apabila tiba di KLIA, hari ini.
Oleh Devinder Singh
devinder@nst.com.my
SEPANG: Safiq Rahim mengelak
daripada ditemuramah kumpulan wartawan sebaik pasukan kebangsaan yang tewas 2-0
kepada Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia semalam, tiba di ibu negara
hari ini.
Tindakan itu menyebabkan ketua
jurulatih Nelo Vingada terpaksa memohon maaf bagi pihak kapten pasukan negara
yang dilayangkan kad merah pada minit ke-40 permainan sebelum Hong Kong meledak
dua gol.
Ini adalah kali ketiga dalam 76
penampilannya bersama Harimau Malaya, Safiq dibuang padang dan dengan ketiadaan
penyerang sepanjang babak pertama dalam saingan Kumpulan B itu, ketiadaan
pemain tengah itu menambah derita anak buah Vingada.
Vingada berkata, Safiq memohon
maaf sejurus selepas dia dibuang padang kerana memijak pertahanan Hong Kong
Daniel Cancela Rodriguez.
"Ini kali pertama perkara
sebegini berlaku di bawah kendalian saya," kata Vingada merujuk kepada kad
merah Safiq. "Saya cukup mengenalinya, kapten yang amat bagus, semangat
juang yang tinggi. Dia sedar itu adalah satu kesilapan.
"Sekarang tidak ada sesiapa
boleh katakan jika dia masih ada kita mungkin tidak akan tewas, tetapi siapa
tahu. Sudah tentu apabila kita kehilangan Saifq, kita hilang keupayaan untuk
menguasai bola dan rentak permainan juga terganggu.
"Saya tidak kecewa
disebabkan dia kerana ia tidak disengajakan. Saya tidak lihat ia seperti
disengajakan. Ia adalah satu kesilapan. Pada waktu rehat dia meminta maaf
kepada pasukan dan mengakui ia adalah satu kesilapan dan tidak akan berlaku
lagi.
"Saya harap Safiq sedar
perkara sebegini tidak boleh berlaku di peringkat ini. Pengadil membuat
keputusan yang tepat."
Pemain tengah Johor Darul
Ta'zim (JDT) itu sebelum ini dibuang padang ketika kekalahan 5-3 di tangan
Singapura dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2011 dan sekali lagi dalam
perlawanan persahabatan menentang Oman dua tahun lalu di mana Malaysia tewas
6-0.
Percubaan untuk mendapatkan
Safiq di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekadar dibalas
dengan lambaian oleh pemain itu sambil memohon maaf dan dia terus meninggalkan
dewan ketibaan.
Selepas lima perlawanan tanpa
kemenangan, empat daripadanya tewas, Vingada menerima kritikan ke atasnya
sebagai jurulatih.
"Saya tidak akan berputus
asa. Saya sangat optimistik dan juga realistik. Ketika mengendali Arab Saudi
dan Portugal, saya berada di tahap berbeza. Di sini saya tahu di peringkat mana
saya berada, sudah pasti kehadiran saya untuk membawa Malaysia ke peringkat
lebih tinggi.
"Saya di sini kerana saya
suka berada di sini dan menghormati semua orang. Saya percaya kepada pemain dan
pegawai saya dan mereka tahu siapa saya. Saya boleh pergi bila-bila masa dan
masih mampu berbangga kerana saya sudah memberikan yang terbaik," kata
pengendali dari Portugal itu.
Vingada bakal kehilangan Safiq
dan pertahanan Aidil Zafuan Abd Radzak (digantung empat perlawanan), juga dari
JDT, untuk perlawanan seterusnya menentang Korea Utara pada 14 November.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu,
11 Oktober 2017 | 9:31pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan