Ahad, 15 Oktober 2017

Empat tonggak skuad Piala Asia dipanggil semula



ARKIB : 12/09/2007

KUALA LUMPUR – Jurulatih skuad negara, B. Sathianathan memanggil empat tonggak skuad Piala Asia, Julai lalu iaitu Indra Putra Mahayuddin, Norhafiz Zamani Misbah, K. Nanthakumar dan Shukor Adan bagi menguatkan cabaran Malaysia menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2010, bulan depan.

Mereka akan menyertai kebanyakan pemain skuad Bawah 23 Tahun Malaysia yang menjulang trofi Pestabola Merdeka ke-39 pada 29 Ogos lalu untuk menghadapi pilihan keenam Asia, Bahrain dalam pusingan pertama timbal balik kelayakan pada 21 dan 28 Oktober ini.

Shukor dan Norhafiz Zamani sebelum ini turut membarisi skuad juara Pestabola tetapi tempat dalam skuad negara kali ini tiada bagi bek kanan, V. Thirumurugan yang membantu Kedah menjulang tiga gelaran sepanjang musim 2006-2007, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.

Latihan

Sathianathan menyenaraikan 24 pemain lain yang bakal melapor diri bagi sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya mulai Isnin ini dengan empat tonggak Kedah pada perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu - Khyril Muhymeen Zambri, Samransak Kram, Sabre Mat Abu dan Bunyamin Omar.

Turut disenaraikan ialah penjaring terbanyak Malaysia dalam Pestabola, Safee Sali yang turut beraksi pada Piala Asia bersama-sama Nor Farhan Muhammad selain pasangan kembar Bawah 23, Aidil Zafuan Radzak dan Zaquan Adha Radzak (Pemain Paling Berbakat Anugerah Bola Sepak Kebangsaan).

Lain-lain pemain termasuk Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal, Syed Adney Syed Hussein, Syamsol Sabtu, Shahurain Abu Samah, Norshahrul Idlan Talaha, Azi Shahril Azmi, S. Subramaniam, Nasril Nourdin, Daudsu Jamaluddin, Sumardi Hajalan, Azamuddin Akil, Farizal Marlias, Zamri Chin, Chun Keng Hong, K. Thanaraj.

Kata beliau, mereka akan menjalani latihan di Wisma FAM hingga 23 September ini sebelum berlepas ke Perth, Australia bagi siri empat perlawanan persahabatan dengan Pilihan Australia Barat (28 atau 29 September), Perth Glory (2 Oktober), Ashfield FC (5 Oktober) dan Floreat Athena (9 Oktober).

‘‘Daripada 28 pelatih ini, saya akan memilih 20 orang sahaja bagi menghadapi Bahrain dalam Kelayakan Piala Dunia,” katanya yang dilantik sebagai pengganti Norizan Bakar sejurus selepas perlawanan akhir Pestabola, kepada Utusan Malaysia, semalam.

Sathianathan yang bakal dibantu Zaki Sheikh Ahmad berkata, mereka sepasukan hanya mempunyai 32 hari untuk membuat persediaan menentang Bahrain yang nyaris layak ke Piala Dunia 2006 jika tidak kalah dalam perlawanan penentuan dengan wakil Concacaf, Trinidad & Tobago.

‘‘Saya menggunakan khidmat ramai pemain Bawah 23 kerana matlamat utama saya ialah Sukan SEA Korat (6 hingga 15 Disember ini),” katanya yang enggan mengulas mengapa tidak menyertakan Penyerang Pilihan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan, Khalid Jamlus ke Kelayakan Piala Dunia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4vZXYpsNU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan