Rabu, 11 Oktober 2017 | 6:32pm
Oleh Firdaus Hashim di Hong
Kong
firdaushashim@hmetro.com.my
HONG KONG: "Bukan salah
Safiq punca kami kalah", kata tonggak pertahanan kanan skuad Harimau
Malaya, Matthew Davies yang tampil mempertahankan ketua pasukannya, Safiq
Rahim.
Safiq dilayangkan kad merah
pada babak pertama sekali gus mengundang kekalahan kedua skuad negara dalam
kempen Kelayakan Piala Asia 2019, di sini, malam tadi.
Dalam aksi ketiga Kumpulan B di
Stadium Hong Kong itu, Malaysia tumpas 0-2 untuk kekal berada di kedudukan
tercorot dengan satu mata, dan skuad kendalian Nelo Vingada sebelum ini turut
tewas kepada Lubnan (1-2) dan seri dengan Hong Kong (1-1).
Davies yang juga ketua pasukan
Pahang menegaskan, kekalahan di tangan pasukan Kim Pan-Gon itu bukanlah
disebabkan atas kehilangan Safiq, sebaliknya berpunca daripada kelekaan di
barisan pertahanan untuk membaca hantaran silang pemain tuan rumah.
"Kalau tengok balik dua
gol mereka, kedua-duanya menerusi tandukan yang bermula daripada hantaran
silang dan sepakan percuma.
"Kami gagal mengeluarkan
bola di dalam kotak penalti kerana ketika itulah gawang negara dibolosi.
"Saya tak fikir kehilangan
Safiq adalah punca kekalahan tetapi ia atas kesilapan kami sendiri sebagai satu
pasukan," katanya yang mengakui pemain tengah Johor Darul Ta'zim (Johor
DT) itu ada memohon maaf di dalam bilik persalinan pasukan.
Segala-galanya tampak baik pada
30 minit pertama buat kem negara walaupun terpaksa beraksi dengan formasi
4-6-0, susulan kecederaan ditimpa penyerang Johor DT, Darren Lok, dua hari
sebelum aksi itu.
Bagaimanapun, sebaik memasuki
minit ke-39, Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila perancang
utama, Safiq dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Sri Lanka, Nivon Robesh
Gamini.
Jeneral tengah itu dikesan oleh
pengadil memijak paha Jorge Tarres ketika cuba mendapatkan semula bola yang hilang
dari kawalannya itu.
Tiga minit kemudian, pemain
naturalisasi dari Barcelona yang dipijak Safiq itu menjaringkan gol pendahuluan
tuan rumah menerusi tandukan, hasil sepakan percuma.
Seorang lagi penyerang
naturalisasi dari England, Jaimes McKee menambah derita Malaysia menerusi gol
kedua pada minit ke-49, yang menyaksikan keputusan itu kekal hingga wisel
penamat.
Nada sama turut diluahkan
pemain muda Pulau Pinang, Syamer Kutty Abba yang percaya Safiq tidak berniat
untuk mengasari pemain tuan rumah.
"Patutnya pengadil bagi
kad kuning saja kerana perlawanan masih lagi awal. Biasalah perebutan bola
50-50, kadang kala terlajak ke depan hingga terpijak pemain lawan.
"Apapun, kami sudah
memberikan yang terbaik dan mereka pun cuma menang 2-0 saja biarpun kami
beraksi 10 orang," katanya yang meraih kap pertama bersama skuad senior
negara
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu,
11 Oktober 2017 | 6:32pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan