Jumaat, 22 September 2017

Norizan kekal skuad AFF



ARKIB : 16/03/2007
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Jurulatih Norizan Bakar mengekalkan sebahagian besar pemain skuad kebangsaan yang mara ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak AFF, Januari lalu bagi siri perlawanan persahabatan di Sri Lanka sebagai persediaan menghadapi Piala Asia, Julai depan.

Ketua pasukan, Khaironnisam Sahabuddin Hussain mengetuai senarai 14 pemain berkenaan di samping rakan bek tengahnya, Norhafiz Zamani Misbah, Shukor Adan, Fadzli Shaari, Syamsuri Mustafa, Fauzie Nan, Nizarudin Yusof, Azizon Kadir, Rezal Zambery Yahya dan V. Thirumurugan.

Turut dipanggil semula daripada skuad AFF untuk melapor diri ke Wisma FAM, Kelana Jaya mulai Isnin ini bagi dua perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka pada 24 dan 26 Mac itu ialah K. Nanthakumar, Hardi Jaafar, Eddy Helmi Manan dan Ronny Harun.

“Enam pemain lain ke Sri Lanka termasuk Nor Farhan Muhamad, Nor Fadzly Alias (Terengganu), R. Surendren (Perak), Azlan Ismail (Perlis), Rudie Ramli (Telekom) dan Hamsani Omar (Johor-Pasir Gudang,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Senarai skuad pelatih terbaru ini bagaimanapun meniadakan penjaring dua gol dalam AFF, Hairuddin Omar yang tercedera manakala empat pemain belia iaitu Azi Shahril Azmi, Samransak Kram, Safiq Rahim dan Khyril Muhymeen Zambri perlu menghadapi kempen Kelayakan Olimpik hingga Jun ini.

Turut tiada kali ini daripada skuad AFF yang tewas menerusi penentuan penalti 5-4 kepada Singapura dalam separuh akhir kedua selepas terikat secara agregat 2-2, ialah Azizi Mat Rose, Chan Wing Hong dan Irwan Fadzli Idrus.

“Senarai terbaru ini berdasarkan prestasi semasa dan kekerapan mereka mewakili kesebelasan utama pasukan masing-masing sepanjang Liga Malaysia tetapi ia masih bukan yang muktamad bagi Piala Asia kerana kita masih ada beberapa bulan lagi,” katanya.

Menurut Norizan, prestasi beberapa pemain skuad Olimpik bimbingan B. Sathianathan turut dipantau dan mungkin diserapkan ke skuad pelatih kebangsaan tetapi keutamaan perlu diberikan kepada tugasan pusingan kedua kelayakan Kumpulan B menentang Jepun, Syria dan Hong Kong itu terlebih dulu.

Malaysia yang juga tuan rumah bersama pusingan akhir Piala Asia dengan Thailand, Indonesia dan Vietnam, menganggotai Kumpulan C dengan menentang naib juara 2004 - China (10 Julai), Uzbekistan (14 Julai) dan Iran (18 Julai) di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Secara merit, Malaysia cuma pernah layak ke pusingan akhir Piala Asia 1976 dan 1980 tetapi terkandas pada peringkat kumpulan lagi.

Jelasnya, Sri Lanka yang kini menduduki ranking ke-147 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), akan menampilkan skuad kebangsaan yang sedang dalam persediaan menghadapi Sukan Asia Selatan (SAF) di Dhaka, Bangladesh, tahun depan.

Sejak Kejohanan AFF pada 12 Januari lalu, skuad kebangsaan Malaysia yang kini menduduki ranking ke-156 dunia, hanya menang sekali, 4-0 ke atas Filipina, seri 0-0 dengan Myanmar dan kalah 1-0 kepada Thailand selain seri 1-1 dengan Singapura (separuh akhir timbal balik).

Pertemuan terakhir menentang Sri Lanka dalam siri persahabatan di Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2000 menyaksikan kita menang 3-1. Tahun lalu, skuad Bawah 23 Tahun negara menewaskan Sri Lanka 2-0 menjelang ke Sukan Asia Doha

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4tPEbVf8o
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan