Jumaat, 22 September 2017

Malaysia kalah kepada Arab Saudi


ARKIB : 23/03/2007

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Skuad Olimpik Malaysia mempamerkan peningkatan permainan sekalipun akhirnya terpaksa menyerah 2-1 kepada Arab Saudi dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Petaling Jaya, semalam.

Anak didik B. Sathianathan bukan sahaja mempertahankan kubu daripada dibolosi lebih banyak gol, bahkan mampu menguasai sepanjang 45 minit babak kedua perlawanan menjelang Kelayakan Olimpik menentang Hong Kong, Rabu ini.

‘‘Kami turut bermain dengan 10 orang selama 55 minit selepas penyerang, Samransak Kram dibuang padang kerana kad merah dan Arab Saudi cuma beroleh dua gol mereka dalam tempoh 12 minit babak pertama.

“Biarpun kalah, saya tetap berbangga dengan pasukan dan pengalaman ini mampu dimanfaatkan semula apabila menghadapi Hong Kong (perlawanan ketiga Malaysia dalam Kumpulan B di Stadium Mongkok),” katanya.

Gol tunggal skuad Olimpik negara dijaringkan oleh bek tengah, Aidil Zafuan Abdul Razak menerusi satu sepakan sudut pada babak kedua. Dua perlawanan pada 28 Februari dan 14 Mac lalu menyaksikan Malaysia kalah 3-1 dan 2-1 kepada Syria dan Jepun.

Arab Saudi kini menerajui Kumpulan D Kelayakan Olimpik selepas menewaskan Jordan dan Iran 1-0 dan akan menentang Australia selepas ini. Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke pusingan akhir dari 22 Ogos hingga 21 November ini.

Semalam, Sathianathan menguji kemampuan Syed Adney Syed Hussein, penjaga gol kelahiran Liverpool, England yang berpengalaman dan membarisi kesebelasan utama Sukan Asia Doha, Disember lalu.

Dia bagaimanapun digantikan Farizal Marlias manakala bahagian benteng menampilkan gandingan Aidil dengan ketua pasukan, Ahmad Azlan Zainal di tengah sambil diapit S. Subramaniam dan Sabri Mat Abu di kiri dan kanan.

Bahagian tengah dikendalikan oleh Azi Shahril Azmi dan Safiq Rahim di samping Amirul Hadi Zainal dan Khyril Muhymeen sementara Samransak dan Azril Hamid ditugaskan untuk memburu gol

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tPgi6kK6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan