Rabu, 13 September 2017

Formasi baru buat Hairuddin bersendirian



ARKIB : 09/01/2007

KUALA LUMPUR – Setelah teka-teki siapa ketua pasukan Malaysia ke Kejohanan AFF terjawab dengan pengumuman nama Kaironnisam Sahabuddin Hussain di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur kelmarin, formasi atau strategi jurulatih Norizan Bakar kini juga bukan satu rahsia lagi.

Malaysia bakal menggunakan 4-2-3-1 pada persaingan peringkat Kumpulan A kejohanan di Bangkok, Jumaat ini iaitu formasi yang menemukan ‘buku dengan ruas’, Itali dan Perancis pada perlawanan akhir Piala Dunia di Berlin, Julai lalu.

Formasi yang cenderung bertahan ini meletakkan Hairuddin Omar sebagai penyerang tunggal Malaysia sambil Khyril Muhymeen Zambri mengekorinya rapat selaku pemain tengah menyerang dalam menghadapi Thailand, Myanmar dan Filipina di sana.

Satu sumber yang enggan dikenali berkata, “memang formasi ini memerlukan penyerang tunggal yang sanggup bekerja keras dalam memburu gol tetapi gerakan dan mengatur serangan sebenarnya turut melibatkan ramai lagi pemain.”

Satu lagi perubahan drastik yang diterapkan oleh Norizan ialah mengalih posisi Hardi Jaafar dari tengah ke sayap kiri sementara rakan sepasukan Khyril dalam skuad Bawah 20 Tahun negara di Bangalore, Safiq Rahim mendukung peranan di sayap kanan.

Shukor Adan yang mulanya disebut-sebut antara calon mengetuai pasukan negara kerana pengalamannya memimpin Selangor sejak 2003, bakal bergandingan dengan ketua pasukan Perlis, Fauzi Nan di bahagian tengah bertahan.

Pemain Paling Popular dalam Anugerah Bola Sepak Negara tahun lalu, Syamsuri Mustafa pula terus mendapat kepercayaan Norizan selaku penjaga gol nombor satu Malaysia dengan dilindungi empat tulang belakang.

Turun membantu penjaga gol Terengganu itu ialah Kaironnisam yang bermain dalam Kejohanan AFF ketiganya (dulu Piala Tiger) sejak 2002 yang berpasangan dengan Norhafiz Zamani Misbah selain Irwan Fadli Idrus dan V. Thirumurugan di kiri dan kanan mereka.

Mengikut kebiasaannya, formasi yang turut digemari kebanyakan pasukan Sepanyol ini, cukup anjal bagi melahirkan kerjasama kuat kedua-dua bahagian sayap tengah dan sisi benteng terutamanya dalam mengatur serangan balas.

Jika bertahan, formasinya akan diubah suai kepada 4-5-1 dan kegunaannya adalah untuk mengekalkan penguasaan bola dan menyekat serangan lawan dari bahagian tengah padang lagi. Ciri-ciri penyerang tunggalnya ialah tinggi dan mahir mengawal bola serta perlu pantas.

Norizan menggunakan formasi 4-4-2 pada Sukan Asia Doha, bulan lalu yang majoriti anak buahnya ialah pemain Bawah 23 Tahun tetapi kali ini ia perlu dirombak memandangkan Kejohanan AFF dan Piala Asia, Julai depan ialah persaingan peringkat senior.

Bagaimanapun, kesemua jaringan Iraq, China dan Oman sepanjang aksi di Doha, didapati membocori gawang Malaysia dari bahagian tengah sekali gus mengilhamkan Norizan untuk mengatasi kelemahan itu dengan sedikit rombakan ke Bangkok.

Agak mengejutkan ialah tiadanya dua tonggak tetap Norizan, Fadzli Saari dan Ronny Harun sejak Sukan SEA Filipina 2005 dalam kesebelasan utama Malaysia selain penyerang UPB-MyTeam, Nizaruddin Yusof yang mungkin masuk sebagai pengganti Safiq dan beralih posisi dengan Khyril.

Mereka yang bakal turut memanaskan bangku simpanan terlebih dulu di Bangkok ialah Saramsak Kram, Azizi Mat Rose, Azi Shahril Azmi, Azizon Kadir, Nasril Nourdin, Chan Wing Hoong, Eddy Helmi Manan, K. Nanthakumar dan Rezal Zambery Yahya.

Senarai ini bagaimanapun dijangka berubah lagi dalam persediaan menjelang Piala Asia di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam apabila tonggak senior seperti Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahyuddin, Safee Sali dan Rosdi Talib pulih daripada kecederaan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4sZHkcTF4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan