BERNAMA
KAPTEN Johor Darul Ta'zim (JDT)
Safiq Rahim kembali diberi tugas memimpin skuad kebangsaan dalam aksi Kelayakan
Piala Asia 2019 menentang Lubnan di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos,
Larkin, malam esok.
Ketua jurulatih Harimau Malaya,
Nelo Vingada berkata pemilihan pemain berusia 30 tahun itu adalah sesuai kerana
Safiq wakil terbaik penghubung antara beliau dan pemain lain dalam merencanakan
strategi pada perlawanan itu.
"Sebelum ini dia pernah
menjadi kapten dan ini bukan kali pertama. Bagi saya dia boleh bermain dengan
baik dan mempunyai banyak pengalaman untuk menggalas tanggungjawab itu,"
katanya hari ini.
Sementara itu, pemain tengah
JDT itu tekad akan menampilkan prestasi terbaik pada aksi pertamanya bersama
skuad Harimau Malaya, sejak pengumumannya untuk bersara daripada skuad
berkenaan pada Julai tahun lalu.
Sambil menyifatkan
tanggungjawab itu bukan sesuatu yang mudah, Safiq berkata beliau dan rakan
sepasukan akan berusaha mempamerkan aksi terbaik bagi memperoleh keputusan yang
diingini.
"Perlawanan itu sudah
semestinya sukar. Kita mungkin berwajah baharu dan berdepan cabaran baharu,
tetapi sasaran kami adalah untuk melakukan yang terbaik. "Setiap
perlawanan ada tekanan. Saya dan rakan-rakan pernah berdepan situasi begitu.
Kita ambil yang positif sahaja. Kita bermain di tempat sendiri yang beri kita lebih
motivasi," katanya.
Jurulatih Lubnan Miodrag
Radulovic berkata ketiadaan pemain tengah Mohammed Ghaddar tidak menjejaskan
rentak permainan pasukannya. "Itu keputusan Ghaddar sendiri untuk tidak
mahu beraksi. Namun saya tidak berapa kisah.
Kami mempunyai beberapa pemain
lain yang boleh menggantikan beliau," katanya sambil berharap anak buahnya
dapat mengekalkan momentum selepas menewaskan Hong Kong 2-0 pada 28 Mac lalu
untuk mendahului Kumpulan B.
Beliau mengakui menentang
Malaysia yang beraksi di gelanggang sendiri, bukan sesuatu yang mudah, namun
anak buahnya sudah bersedia berdepan cabaran itu.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 6:00 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan