Jumaat, 24 Mac 2017

Safiq, Amirulhadi sedia pulang ke pangkuan Harimau Malaysia



AMIRULHADI ZAINAL
AMIRULHADI ZAINAL   

JOHOR BAHRU 24 Mac - Dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sebelum ini mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan bersedia kembali ke pangkuan Harimau Malaysia di bawah Kepemimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bakal diterajui Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Bekas kapten kebangsaan, Safiq Rahim dan Mohd. Amirulhadi Zainal, masing-masing menyatakan kesediaan menyarung jersi Malaysia seandainya khidmat mereka ditagih oleh pasukan.

Pada masa sama, Safiq yang juga ketua pasukan JDT turut melahirkan keyakinan terhadap Tunku Ismail untuk membawa perubahan dalam sukan bola sepak tanah air.

“Pada masa ini, saya mahu memberi keutamaan kepada JDT dan perkara lain yang sedang saya usahakan, tetapi kita tidak boleh jangka masa depan. Insya-Allah, saya bersedia berbuat demikian (menyarung jersi Malaysia) sekiranya diberi peluang pada masa depan.

“Apa jua keputusan atau perancangan pada masa depan itu kita tunggu,” kata Safiq ketika ditemui di Kafe SR8, di sini hari ini.

Sementara itu, Amirulhadi turut sependapat dengan rakan pasukannya dan tidak menolak kemungkinan menyarung semula jersi kebangsaan sekiranya diberi peluang.

“Tahniah kepada Tunku Mahkota Johor, saya yakin dengan kepemimpinan beliau pembaharuan akan berlaku dalam bola sepak negara selain bakal mendapat pendedahan lain lebih baik yang memberi manfaat kepada pasukan negara.

“Kalau saya dipanggil (menyertai skuad kebangsaan), Insya-Allah. Kita tunggu pembaharuan,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safiq-amirulhadi-sedia-pulang-ke-pangkuan-harimau-malaysia-1.461246#ixzz4cI4ktryF© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan