Selasa, 21 Februari 2017

Safiq mahu fokus persiapan

 
SAFIQ (dua dari kiri) bersalaman dengan Khuon (dua dari kanan) dan disaksikan Mora (kiri) dan McGlynn.
Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kapten Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Safiq Rahim enggan memikirkan kekuatan kelab dari Kemboja Beoungket Angkor FC sebaliknya mengutamakan persiapan lebih rapi skuad Harimau Selatan apabila memulakan aksi pertama saingan Kumpulan F Piala AFC di Stadium Larkin, malam ini.

Baginya, persiapan Johor DT diberi keutamaan pada saingan itu dan apabila turun ke padang pada aksi sebenar dengan memberi persembahan terbaik dan konsisten sudah pasti apa yang dihajati untuk mencipta kemenangan mampu dicapai.


“Macam jurulatih (Benjamin Mora) beritahu, beliau lebih risau dan saya juga risau mengenai pasukan kami sendiri. Bagi saya jika kami dapat menjalankan tanggungjawab dan mempamer corak permainan terbaik, saya rasa tidak ada masalah untuk raih keputusan positif.

“Kami perlu risaukan pasukan sendiri dan bukan lawan malah saya berharap misi memburu tiga mata di laman sendiri membuahkan hasil malah sepanjang aksi Johor DT pada saingan Liga Super, kami beraksi konsisten cuma keputusan tidak memihak kami.

“Malah motivasi yang tinggi juga memainkan peranan apabila berdepan Beoungket Angkor kerana mereka pasti akan turun untuk mencari kemenangan dan kami harus berhati-hati dengan taktikal permainan lawan,” ujar Safiq.

Dalam pada itu, Mora yang julung kali membimbing skuad Harimau Selatan mengharungi kancah Piala AFC tetap meletakkan sasaran bagi memburu kejuaraan selepas melakar sejarah muncul juara Piala AFC 2015 ketika di bawah bimbingan Mario Gomez.

Bagi dirinya, walaupun ia tugas berat namun bersedia menyahut cabaran dan menyatakan betapa beberapa perubahan taktikal akan dilakukan pada pertembungan itu apabila khidmat Azammudin Akil diketepikan akibat kecederaan yang dialami ketika menentang Perak, Sabtu lalu.

“Mahali Jasuli mungkin akan beraksi di posisi sayap kanan bagi menggantikan Azammuddin yang perlu direhatkan sekurang-kurangnya tiga hari walaupun kecederaan yang dialami tidak serius.

“Malah saya juga akan merehatkan S Kunanlan dan Fazly Mazlan yang tampak kepenatan dan mereka perlu berehat dan saya memiliki barisan pemain gantian yang bersedia untuk diturunkan mengisi posisi bek kanan dan kiri,” kata Mora.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 7:45 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan