Selasa, 21 Februari 2017

Mora sedia aksi sulung Piala AFC

SELASA, 21 FEBRUARI 2017 @ 10:14 AM
Mora sedia aksi sulung Piala AFC Oleh Rizar Mohd Noor rizar@Bh.com.my
 
KAPTEN JDT, Safiq Rahim (dua dari kiri) bersalaman dengan Ketua Pasukan Beoungket Angkor FC, Khuon Laboravy (dua dari kanan) dan disaksikan Benjamin Mora dan Jurulatih Beoungket Angkor FC, Anthony John Mc Glynn (kanan) bergambar selepas sidang media saingan Kumpulan F Piala AFC 2017 di Johor Bahru, semalam. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora bertekad untuk memastikan skuad itu memulakan kancah Piala AFC dengan langkah kanan apabila berdepan Beoungket Angkor FC pada aksi Kumpulan F di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini. Biarpun ia adalah tugasan pertama jurulatih kelahiran Mexico membimbing skuad Harimau Selatan di saingan Piala AFC, namun beliau tampak sudah membuat persiapan rapi bagi memburu tiga mata yang dianggap begitu penting.

       "Untuk aksi menentang kelab dari Kemboja itu, saya tidak menurunkan Azammuddin Akil yang mengalami kecederaan ketika menentang Perak, Sabtu lalu dan tempatnya akan diganti oleh Mahali Jasuli.

      "Posisi pertahanan akan dirombak kerana S Kunanlan dan Muhd Fazly Mazlan perlu direhatkan dan saya sudah ada pemain gantian di posisi bek kanan dan kiri. Penggiliran pemain juga akan dibuat di posisi yang dikenal pasti.

"Ini adalah cabaran yang terbaik buat kami beraksi di laman sendiri apabila berdepan pasukan yang pertama kali bersaing di Piala AFC. Kami tidak risaukan pasukan lawan kerana keutamaan adalah pasukan JDT sendiri dengan melakukan persiapan yang rapi dan mengelak daripada membuat kesilapan mudah," katanya.

Mora juga tidak menolak skuad kendalian John MacGylinn akan turun habis-habisan untuk cuba menewaskan juara Piala AFC 2015 dan beliau tampak mahu setiap pemainnya berhati-hati dengan taktikal ditampilkan lawan. Katanya, selepas melihat rakaman video aksi Beoungket Angkor FC, beliau menyifatkan penyerang dan juga kapten pasukan itu, Khuon Lavabory mampu menggugat benteng JDT.

"Setiap jurulatih akan berdepan situasi getir apabila menentang pasukan lawan seperti itu namun kita kena ketepikan kegusaran dan lebih mengutamakan persiapan pasukan sendiri. "Kita perlu pastikan pemain mengikut arahan taktikal untuk meraih kemenangan," kata Mora.


Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/251047

Tiada ulasan:

Catat Ulasan