Rabu, 28 September 2016

Tiada masalah tanpa Safiq

Wartawan Sinar Harian
28 September 2016
     Tiada masalah tanpa Safiq
Harris percaya Harimau Selatan mampu memberi aksi terbaik walaupun tanpa Safiq. - Foto oleh FB JOHOR Southern Tigers

KETIADAAN Safiq Rahim tidak akan menjejaskan rentak permainan Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila berdepan kelab India, Bengaluru dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFC  di Stadium Larkin, malam ini.

Safiq terpaksa melupakan perlawanan selepas digantung selepas mengutip dua kad kuning.

Pemain tengah JDT, Harris Harun berkata, pasukannya sentiasa mempunyai pelan sokongan dan beberapa lagi pemain berkualiti untuk mengisi kekosongan peranan tersebut walaupun tanpa Safiq.

“Kami  mempunyai  pelbagai pemain lain yang baik seperti Amirul Hadi Zainal dan Gary Robbat,  masing-masing telah mempamerkan aksi baik dalam perlawanan sebelum ini.

“Di JDT, persaingan sihat antara pemain adalah sangat digalakkan kerana ia memberi banyak pilihan kepada jurulatih untuk memilih pemain tersebut layak atau pun tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, pemain kebangsaan Singapura itu turut memberitahu rakan sepasukannya akan memberikan fokus terbaik pada perlawanan tersebut  untuk memastikan mereka mempunyai kelebihan sebelum aksi timbal balik di India bulan depan.

“Ia adalah satu penghormatan kepada kami untuk menjuarai Liga Super tiga tahun berturut-turut.

"Tetapi ia tidak akan lengkap jika Piala AFC tidak kembali ke Johor. Jadi saya amat harap kesemua pemain akan beraksi sebaik mungkin untuk meraih kemenangan,” katanya.
SUMBER SINAR HARIAN ONLINE 28 September 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan