Rabu, 20 April 2016

Heboh gara-gara muscle car Safiq, Kunanlan

AZIZI MAJID   20 April 2016 12:16 AM

S. KUNANLAN bersama kereta baharunya, Dodge Challenger turut menarik perhatian peminat bola sepak.

JOHOR BAHRU 19 April – Niat mereka mungkin mahu memberi inspirasi kepada peminat bola sepak apabila bergambar bersama kereta muscle car Amerika yang baru dibeli dan kemudian dimuat naik dalam Facebook rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT), JOHOR Southern Tigers (JST).
Bagaimanapun, gambar kap­ten JDT, Safiq Rahim dan pemain tengah, S. Kunanlan itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, malah ada yang mengatakan mereka sengaja mahu menunjuk-nunjuk kemewahan masing-masing.
Safiq, 28, bergambar bersama kereta Ford Mustang yang disertai kenyataan bergambar: “Mereka bangun setiap hari memikirkan untuk menulis perkara negatif tentang kami. Kami bangun setiap hari mengucapkan syukur kepada Allah dan hidup berjaya.”
Kunanlan, 29, pula memperagakan kereta Dodge Challenger bersama kapsyen: “Sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Tetapi jangan berhenti berusaha untuk apa yang anda mahukan.”
JST yang tidak mahu mengundang salah faham dalam kalangan peminat bola sepak kemudian menjelaskan bahawa kereta Kunanlan bukan milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Untuk makluman para penyokong, kenderaan milik S. Kunanlan bukan milik DYAM Tunku Mahkota Pemangku Raja Johor, sebaliknya dibeli oleh pemain tersebut di 23Motors iaitu salah satu penaja kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim,” kata JST dalam kenyataan tersebut.
Namun usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan komen kedua-dua pemain gagal apabila panggilan dan mesej yang dihantar tidak berjawab.
Sementara itu, dalam laman sosial, peminat bola sepak menyuarakan pandangan berbeza mengenai tindakan Safiq dan Kunanlan memperagakan kereta mereka.
Seorang peminat yang menggunakan akaun Facebook Awaluddin Annuar berpendapat pemain tersebut berhak memiliki kereta itu ha­sil usaha keras mereka.
“Dah macam pemain bola luar negara dah ni... pemain mesti pakai kereta mahal-mahal... baru nama­nya hasil titik peluh,” katanya.
Manggala Johor pula menyifatkan kemewahan yang diperoleh pemain JDT dalah berkat usaha pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Maaf cakaplah.. dengan JDTlah pemain-pemain yang bermain untuk JDT hidup senang lenang... nak apa semua dapat.. kebajikan terjaga... gaji lumayan tiada tertunggak.. berkat usaha TMJ,” katanya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/heboh-gara-gara-i-muscle-car-i-safiq-kunanlan-1.277676#sthash.PwEuuW2t.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan