Khamis, 17 Mac 2016

Safiq tuntut rakan kekal momentum

Oleh Nazri Abu Bakar-sukan@hmetro.com.my
Melaka: Kapten Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Safiq Rahim berpuas hati dengan persembahan pasukannya ketika menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 di Stadium Hang Jebat kelmarin bagi melonjakkan Harimau Selatan ke tangga teratas Liga Super.

Menurutnya, dia yakin jika momentum positif disulami dengan persembahan 100 peratus dikekalkan, mereka akan terus mencipta kejayaan.

Katanya, lebih manis aksi tanpa kalah setakat ini memberi keyakinan kepada pemain untuk memperaga persembahan terbaik dalam saingan suku akhir Piala FA di gelanggang sama 19 Mac ini.

Menurutnya, momentum kemenangan itu juga menjadi azimat berharga untuk mengecewakan lawan dengan tumpuan kini terarah kepada satu demi satu perlawanan.

“Kemenangan ini sudah menjadi sejarah buat kami. Apa yang penting fokus terhadap pertemuan baru selepas ini.

“Justeru kelemahan yang ada perlu terus diperbaiki supaya kami terus selesa berdepan siapa saja,” katanya sebaik perlawanan tamat.

Sementara itu, jurulatih PDRM Fauzi Pilus kecewa dengan keputusan pengadil perlawanan yang memberikan sepakan penalti kepada pelawat sehingga menjadi punca kekalahan.

”Semua orang nampak apa yang berlaku, penalti tak sepatutnya diberikan kepada Johor DT. Gol penalti itu merencatkan persembahan pemain saya yang sebelum itu dapat menyaingi pasukan pelawat.

“Keputusan pengadil kurang tepat, sama seperti ketika bertemu Kelantan. Mereka meneruskan perlawanan walaupun kekasaran berlaku. Begitu juga, tidak memberhentikan permainan ketika pemain sepatutnya dipersalahkan,” katanya.

Dalam aksi kelam kabut tiga minit memasuki babak kedua penyerang Harimau Selatan Azinee Taib dijatuhkan pemain pertahanan The Cops sehingga menyebabkan pengadil menghadiahkan penalti.

Safiq memanfaatkan sepakan itu dengan tenang ke kiri gawang PDRM sebelum Jorge Diaz menjaringkan gol kedua Johor DT pada m-76.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 9:56 AM
 
PEMAIN PDRM Ashfaq Ali (kanan) cuba melepasi asakan pemain pertahanan Johor DT Marcos Antonio.

- Sumber://www.hmetro.com.my/node/122798#sthash.OeC2h694.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan