Jumaat, 18 Mac 2016
Gomez puji Safiq
KETUA pasukan JDT, Safiq Rahim meraikan jaringan gol keduanya yang
dihasilkan menerusi sepakan penalti ketika menentang Lao Toyota FC di Johor
Bahru kelmarin
JOHOR BAHRU - Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez bukan
sahaja memuji permainan Safiq Rahim, malah menyifatkan ketua pasukan itu
berpengaruh besar di atas padang semasa membantu pasukannya meraih kemenangan
3-0 ke atas Lao Toyota dari Laos dalam perlawanan Piala AFC kelmarin.
Safiq yang dibawa masuk pada babak kedua bukan sahaja mengubah rentak
permainan Harimau Selatan, malah bijak mengatur gerak serangan dan
mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan sehingga berjaya memperoleh gol
setelah babak pertama berakhir tanpa jaringan.
Setakat ini, pemain tengah berkenaan sudah menjaringkan enam gol daripada
tiga perlawanan dalam kempen Kumpulan H, Piala AFC tahun ini.
“Tidak dinafikan Safiq memainkan peranan yang penting di atas padang. Dia
bukan sahaja cemerlang mengemudi jentera serangan, malah bijak menghasilkan
peluang gol.
“Pada babak pertama perlawanan, rentak permainan kami agak perlahan
kerana pihak lawan bertahan dengan baik dan tidak memberi ruang untuk mencipta
peluang gol.
“Perubahan taktikal membawa masuk Safiq dan (Jorge Pereyra) Diaz pada
separuh masa kedua nyata membuahkan hasil kepada kami. Walaupun terpaksa
menunggu lebih 60 minit untuk mendapat gol pertama, itu tidak menjadi masalah
asalkan berjaya mengutip tiga mata,” kata Gomez.
Dalam pada itu, pengendali berusia 59 tahun dari Argentina itu turut
memuji prestasi S. Chanturu, Amirul Hadi Zainal, Safee Sali, Amri Yahyah dan
Jasazrin Jamaludin yang beraksi dengan baik dalam perlawanan tersebut.
Katanya, mereka adalah pemain yang boleh diharapkan untuk membantu
pasukan meraih kemenangan ketika ramai pemain utama tidak direhatkan untuk
persediaan menghadapi perlawanan penting dalam masa terdekat.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/gomez-puji-safiq-1.201599#sthash.5VLpztaI.dpuf
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan