Rabu, 23 Mac 2016

'Ambil iktibar kekalahan lalu'

 Saiful Affendy Sapran-saifulaffendy@hmetro.com.my
Sepang: Kapten Harimau Malaysia Safiq Rahim mahu rakan sepasukannya melupakan kekalahan kepada Arab Saudi, September lalu sebaliknya terus kekal fokus untuk bertemu lawan sama pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Jeddah, Khamis ini.

Meskipun Malaysia sudah tersingkir dalam buruan tiket ke Piala Dunia selepas sekadar meraih empat mata daripada tujuh perlawanan, tetapi skuad negara masih berpeluang untuk beraksi pada pusingan kelayakan ketiga Piala Asia.

Justeru, Safiq berharap rakan sepasukannya tidak mudah mengalah apabila bertemu Arab Saudi yang menduduki tangga teratas Kumpulan A.

“Walaupun saya jaringkan gol ketika itu, tapi bagi saya perlawanan itu sudah berlalu. Yang penting kami perlu ambil iktibar daripada kekalahan itu.

“Kali ini saya harap siapa yang berpeluang untuk menjaringkan gol, mereka perlu memanfaatkan peluang itu sebaik mungkin.

“Yang penting kami belajar daripada apa yang berlaku ketika tewas kepada Arab Saudi sebelum ini. Bagi saya mereka adalah antara pasukan terbaik Asia.

“Kami perlu mengharungi perlawanan ini bagi memberikan keyakinan semula kepada pasukan untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam sebelum berlepas ke Jeddah.

Arab Saudi mendahului skuad negara 2-1 pada perlawanan di Stadium Shah Alam September lalu, namun perlawanan itu terpaksa dihentikan pada minit ke-88 gara-gara kekecohan Ultras Malaya, sekali gus menyaksikan Arab Saudi kemudiannya diberi kemenangan percuma 3-0.

Perlawanan terakhir anak buah Kim Swee November lalu pula menyaksikan skuad negara tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Mengenai persiapan skuad negara yang dilihat agak suntuk selepas 23 pemain hanya dapat dikumpulkan semalam, Safiq berkata, barisan pemain yang membarisi skuad negara kali ini bukanlah asing dan mereka boleh menyesuaikan diri dengan cepat.

“Setiap pemain perlu bekerjasama dengan baik. Lupakan seketika tugas bersama kelab yang diwakili kerana kali ini kami menggalas nama Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 9:06 AM

SAFIQ menjawab soalan wartawan sebelum bertolak dari KLIA untuk penerbangan ke Jeddah bagi kelayakan Piala Dunia 2018 terakhir skuad negara bertemu dengan Arab Saudi, semalam.

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/124282#sthash.YlJDOHFc.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan