25 Disember 2016 12:51 AM
Dari kiri Khairul Fahmi Che
Mat, Rizal Ghazali, Tan Cheng Hoe, Ahmad Hazwan Bakri dan Safiq Rahim bersama
trofi yang dimenangi dalam Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016 di Kuala
Lumpur, kelmarin. - MINGGUAN/MOHD. RIDUAN RIZAL AHMAD
KUALA LUMPUR 24 Dis. - Kapten
Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim tidak menolak kemungkinan kembali
menguatkan skuad Harimau Malaysia pada masa akan datang.
Bagaimanapun bekas perancang
utama kebangsaan itu berkata, fokusnya pada masa ini adalah membantu JDT
mengharungi musim 2017 yang mencabar dan memastikan mereka mempertahankan
kejuaraan Liga Super yang dimenangi tiga tahun berturut-turut.
“Tidak mustahil...Saya tidak
tolak kemungkinan itu (kembali menyertai skuad kebangsaan).
“Buat masa sekarang, saya fokus
kepada JDT dahulu kerana musim hadapan cabaran sudah pasti semakin sengit,”
katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2016
di Shah Alam, semalam.
Dalam majlis itu, Safiq
diangkat sebagai Pemain Tengah Terbaik ABK 2016 buat kali keempat selepas
merangkul anugerah sama pada 2011, 2012 dan 2015.
Sebelum ini, arena bola sepak
tempatan dikejutkan dengan berita persaraan Safiq bersama tiga lagi pemain
termasuk Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunanlan dan Mohd. Amirulhadi Zainal
dengan alasan ingin memberi ruang kepada barisan pemain muda.
Sementara itu, Safiq turut
memasang cita-cita untuk membantu JDT yang juga juara Piala AFC 2015 menjadi
pasukan pertama dari Malaysia layak beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia, tahun
hadapan.
“Memang menjadi sasaran kami
untuk meraih keputusan baik dalam Liga Juara-Juara Asia
“Saya harap kali ini kita akan
dapat keputusan yang positif ...tidak mustahil untuk kami beraksi di sana,”
katanya.
Skuad Harimau Selatan musim
hadapan akan diperkuatkan dengan kehadiran Penyerang Terbaik dan Pemain Paling
Bernilai ABK 2016, Ahmad Hazwan Bakri bersama dua lagi pemain Selangor, Mohd.
Azrif Nasrulhaq dan Muhammad Nazmi Faiz Mansor serta Muhammad Safawi Rasid dari
TFC II.
SUMBER- See more at:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safiq-sedia-buat-kepulangan-semula-1.423969#sthash.73138INa.dpuf